PUTRAJAYA, 9 Oktober-Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan melaksanakan beberapa strategi dan reformasi bagi menangani isu kekurangan beras putih tempatan di pasaran.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata salah satu strategi yang bakal dilaksanakan ialah melakukan pengasingan kuasa agensi terlibat bagi tujuan tindakan penguatkuasaan dan peraturan baharu bagi sektor berkenaan.
Jelas Mohamad Sabu, strategi tersebut dirangka bagi memantapkan tatakelola sektor padi dan beras negara.
"Beberapa langkah yang akan diambil untuk mereformasikan sektor ini, iaitu pemantapan tatakelola sektor padi dan beras iaitu pengasingan kuasa antara Bahagian Pembangunan Industri Padi (PIP), Kawalselia Padi Beras (KPB) dan wakil Kerajaan dalam BERNAS akan segera dilaksanakan", katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KPKM di sini hari ini.
Tambah beliau, Peraturan Melarang Campuran Beras Putih Tempatan dengan Beras Putih Import akan diperkenalkan dalam masa terdekat.
Selain itu, antara langkah lain diambil KPKM ialah pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam melalui kajian penggabungan semua penguat kuasa di bawah kementerian berkenaan.
Turut hadir, Timbalan Menteri KPKM , Datuk Arthur Joseph Kurup dan Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak.