fb fb fb fb fb

KPKM laksana pembenihan awan, elak tanaman padi Kelantan terjejas

Operasi Pembenihan Awan (OPA)

SUBANG, 23 Jun- Operasi Pembenihan Awan (OPA) dilaksana Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk meningkatkan paras air semasa Sungai Kelantan.

Ia susulan sungai itu merupakan sumber utama pengairan kawasan penanaman padi seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata inisiatif itu secara langsung memberi manfaat kepada hampir 3,400 pesawah yang mengusahakan aktiviti penanaman padi di kawasan tersebut.

Operasi selama tiga hari sejak Jumaat lalu menyasarkan tujuh kawasan utama antaranya Manik Urai, Pasir Puteh, Tanah Merah, Kemubu dan Dabong.

"Pelaksanaan OPA ini bermatlamat untuk meningkatkan paras air semasa Sungai Kelantan yang begitu kurang ketika ini. Kawasan penanaman padi seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) terjejas dengan kekurangan air yang begitu ketara. Operasi ini dijangka akan dapat menambahbaik sistem pengairan di kawasan Kemubu yang mengalami kemarau panjang.

"Pelbagai inisiatif telah diberikan kepada pesawah meliputi bantuan pam seperti pam mudah alih, booster pump dan backwork pump, pembinaan tubewell dan sebagainya.

"Sebagai tambahan, KADA turut menerima peruntukan sebanyak RM20 juta daripada Kementerian Kewangan bagi perolehan pam mudah alih bersaiz besar yang boleh beroperasi pada paras air yang rendah", katanya kepada pemberita dalam sidang media Operasi Pembenihan Awan di Pangkalan Tentera Udara Subang.

Jelasnya, Rumah Pam Kemubu 3 sedang dalam pembinaan sebagai alternatif penyelesaian isu sumber bekalan air bagi tempoh jangka panjang.

Pelaksanaan program OPA ini melibatkan kerjasama strategik antara KPKM, bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

ROSLINA BINTI DIN