PUTRAJAYA, 13 Disember- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menganggarkan jumlah kerugian kerosakan padi, sayuran dan perikanan akibat banjir yang berlaku di seluruh negara mencecah lebih RM177 juta.
Jelas Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, tanaman sawah padi di Kelantan, Terengganu dan Kedah adalah paling terjejas susulan bencana tersebut.
Tiga mekanisme ditawarkan bagi tujuan membantu pesawah terjejas banjir termasuklah, Tabung Bencana Tanaman Padi dan Skim Takaful Tanaman Padi.
Turut disediakan, Tabung Bencana Pertanian bagi membantu petani dan nelayan terjejas.
"Kita ada tiga jenis tabung yang akan membantu mangsa banjir Yang pertama, Tabung Bencana Tanaman Padi bagi pesawah padi Yang kedua, Tabung Bencana Pertanian dan yang ketiga, Skim Takaful Tanaman Padi.
Ini khasnya di bawah Agrobank. Setakat ini, menurut bancian kita, anggaran nilai kerosakan akibat banjir melebihi RM177 juta di seluruh negara. Maka, kita akan berusaha membantu mengikut skim yang ada ini," kata Datuk Seri Mohamad kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui dalam Majlis Pelepasan Skuad Ihsan MADANI peringkat KPKM, di sini.
Tambahnya, 2,500 sukarelawan melibatkan warga kerja agensi di bawah KPKM di Kedah, Terengganu, Kelantan dan Johor digerakkan bagi membantu penduduk terjejas banjir, ketika ini.