KUALA LUMPUR, 19 November -Proses pelepasan dan urusan ketibaan pengembara oleh imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, (KLIA) menunjukkan tempoh menunggu lebih pendek, atau secara umum berjaya dikurangkan kepada bawah 25 minit.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pencapaian itu berdasarkan pelaporan prestasi yang diukur menggunakan sistem Smart Q berasaskan teknologi 'Internet of Thing', dan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (QOS), yang diwujudkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).
"Jadi sistem ini menggunakan teknologi infrared dan ia mengesan dan menganalisa pergerakan penumpang termasuk bagi mengukur tempoh waktu menunggu.
"Berdasarkan kepada prestasi ini bahawa lapangan terbang kita mencapai sasaran tempoh menunggu yang pendek,” jelasnya ketika menjawab soalan dikemukan oleh Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj dalam sidang Dewan Rakyat.
“Dalam sebulan akan berlaku lima atau enam hari, di mana ketibaan pesawat itu lari daripada jadual, jadi selang dua hingga tiga minit yang menyebabkan tempoh untuk kita melakukan pelepasan imigresen mengambil sehingga 49 minit sedangkan sasaran kita kurang 25 minit.
“Jadi dalam sebulan itu ada lima hingga enam insiden, kita akui dan kita tak nafikan. Tapi 25 hari berikutnya itu, tempoh pelepasan itu ialah 85 peratus daripada penumpang kita selesaikan dalam tempoh kurang daripada 25 minit,” tambah Saifuddin.
Katanya sejak Mei tahun ini, inisiatif untuk mengurangkan tempoh menunggu telah dijadikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi menangani isu kesesakan di pintu masuk negara, termasuk di KLIA.
Inisiatif itu dipantau pasukan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN).