GEORGETOWN, 23 Disember – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menggerakkan 137 pegawai penguatkuasa serta 62 pegawai pemantau harga untuk memastikan pematuhan terhadap Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 yang berkuat kuasa hari ini sehingga 27 Disember.
Kesemua pegawai akan ditempatkan di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani, dan pusat membeli-belah bagi memantau barangan keperluan perayaan.
Exco Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Luar Bandar negeri, Datuk Rashidi Zinol berkata langkah itu bertujuan memastikan pengguna dan pengeluar mendapat manfaat daripada skim tersebut.
"Kita dapati harga barangan di bawah paras maksimum yang dibenarkan, termasuk harga kambing yang sangat murah. Pendekatan ini memastikan kedua-dua pihak menang, pengguna mendapat harga berpatutan, dan pengeluar mendapat pulangan wajar," katanya pada sidang media selepas pelancaran SHMMP Krismas 2024, di sini.
Bagi Semenanjung, SHMMP melibatkan sembilan jenis barangan seperti daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing), lobak merah, dan tomato.
Sementara itu, Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata pihaknya menerima 115 aduan berkaitan minyak masak bersubsidi sepanjang tempoh Januari hingga 22 Disember, menjadikannya kategori aduan tertinggi tahun ini.
"Aduan ini merangkumi kira-kira 80 peratus daripada 186 aduan berkaitan bekalan barangan kawalan, termasuk isu minyak masak paket bersubsidi yang dijual melebihi harga kawalan atau tiada bekalan di pasaran," katanya.
Berdasarkan statistik dari 1 Januari hingga 22 Disember, KPDN Pulau Pinang menerima 2,351 aduan, dengan kategori harga barangan dan perkhidmatan mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 1,025 aduan.
Pemeriksaan terhadap 48,955 premis di seluruh negeri mencatatkan 695 kes pelbagai kesalahan, dengan jumlah sitaan bernilai RM2.1 juta dan kompaun sebanyak RM308,950.