PUTRAJAYA, 10 Mac- Seiring perkembangan pesat industri jualan langsung di Malaysia dan peringkat global, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meminda Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 [Akta 500] secara komprehensif.
Timbalan Menterinya, Dr Fuziah Salleh, berkata penambahbaikan itu bertujuan menyesuaikan industri dengan perubahan dinamik pasaran masa kini, selain memastikan ekosistem perniagaan lebih mampan dan beretika.
"Pindaan ini penting bagi mewujudkan ekosistem industri jualan langsung yang menyeluruh, holistik dan dinamik. Beberapa sesi libat urus dan bengkel bersama kerajaan, persatuan serta pemain industri telah diadakan tahun lalu, dan sebanyak 20 seksyen dalam akta ini dikenal pasti untuk dipinda," katanya.
Antara seksyen yang akan dipinda melibatkan aspek seperti keperluan mendapatkan lesen, kontrak jualan, larangan skim piramid, dan penguatkuasaan.
Dr Fuziah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lesen Jualan Langsung di Putrajaya, di mana 45 syarikat menerima lesen masing-masing; 18 syarikat dengan lesen baharu dan 27 syarikat memperbaharui lesen mereka.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan kukuh dalam industri jualan langsung, tempat ke-6 dunia dan ke-4 Asia Pasifik bagi tempoh 2020 hingga 2024.
"Sejak 2020 hingga 2024, industri ini telah merekodkan nilai jualan melebihi RM130 bilion. Bagi tahun 2023 sahaja, jumlah jualan mencecah RM34.4 bilion, meningkat 7.4 peratus berbanding RM32.04 bilion pada 2022. Ini satu pencapaian membanggakan buat negara," katanya.
Dr Fuziah menegaskan bahawa KPDN komited memperkasa industri ini dengan memperkukuh perkhidmatan dan produk demi mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif dan progresif.