
KUCHING, 13 Mac — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperketat penguatkuasaan penjualan minyak masak peket bersubsidi bagi memastikan hanya rakyat Malaysia yang layak mendapat manfaat itu.
- Larangan jual dan beli minyak peket 1 kilogram kepada bukan warganegara berkuat kuasa 1 Mac.
- Had pembelian maksimum tiga peket sehari, direkod melalui buku log atau aplikasi e-COSS.
- Aplikasi e-COSS dimuat turun oleh 3.5 juta pengguna, mengimbas kod untuk rekod dan halang pembelian berlebihan.
- Tindakan kompaun dikenakan; penjual individu antara RM5,000 hingga RM50,000, pembeli individu sehingga RM10,000, syarikat sehingga RM50,000.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Fuziah Salleh berkata, langkah tersebut susulan arahan kerajaan yang mula berkuat kuasa pada 1 Mac lalu yang melarang penjualan dan pembelian minyak masak peket 1 kilogram kepada bukan warganegara.
Sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 13,564 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 563 pemeriksaan telah dilakukan di Sarawak.
Beliau turut memaklumkan sebanyak tujuh aduan telah diterima setakat ini dan sebahagiannya masih dalam siasatan.
Bagi mengawal ketirisan subsidi, setiap individu hanya dibenarkan membeli maksimum tiga peket minyak masak sehari. Pembelian boleh direkodkan melalui buku log dengan menunjukkan kad pengenalan atau menggunakan aplikasi mudah alih e-COSS yang membolehkan pengguna mengimbas kod pembelian di premis perniagaan.
“Setakat ini, 3.5 juta rakyat Malaysia sudah pun muat turun aplikasi mobile e-COSS, dan dengan aplikasi itu mereka boleh beli, scan dan kita tengok tadi bila mereka scan mereka boleh beli dan aplikasi itu menunjukkan pembelian untuk hari itu maksudnya dia sudah beli 3 maksimum dia tak boleh beli lagi dah pada hari tersebut dan kita dapati rata-rata rakyat Malaysia walaupun ada sedikit teknikal mereka berpuas hati kerana mereka mendapati bahawa hak mereka terpelihara.” katanya selepas melakukan tinjauan di sebuah pasar raya di Kuching.
Tegas beliau, mana-mana individu yang melanggar peraturan akan dikenakan tindakan kompaun tidak kira samada kepada penjual mahupun pembeli.
Penjual individu boleh dikenakan kompaun antara RM5,000 hingga RM50,000 manakala syarikat sehingga RM50,000. Pembeli individu pula boleh dikenakan kompaun sehingga RM10,000, manakala syarikat sehingga RM50,000.
Dalam perkembangan lain, kementerian turut memantau kemungkinan kesan konflik di Asia Barat terhadap harga barangan di Malaysia. Penguatkuasa menjalankan Op Pantau secara berterusan bagi memastikan tiada kenaikan harga yang tidak munasabah.
Setakat ini, tiada aduan mengenai kenaikan harga luar biasa diterima, selain pemborong dan peruncit dilaporkan masih mempunyai bekalan stok sekitar dua bulan.