NILAI, 2 April- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan pemantauan serius terhadap harga ayam di pasaran menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri kata Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana peniaga yang didapati menjual pada harga yang tidak munasabah.
"Hasil daripada pemantauan kita harga ayam di pasaran dan begitu juga yang kita terima daripada kementerian pertanian terutamanya berkenaan bekalan mencukupi.
"Jadi kita lihat bahawa harga ayam di pasaran adalah stabil kita tak masuk dalam senatai lebih rendah berbanding dengan harga semasa kita laksanakan harga maksimum dulu. Jadi kita lihat harga ayam di pasaran adalah stabil," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2024 di sini.
Bagi kesalahan itu sekiranya peniaga didapati bersalah, tindakan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 akan dikenakan.
Sementara itu, menerusi tinjauan kru RTM, harga purata ayam bersih standard yang dijual adalah sekitar RM8.50 sekilogram bersamaan dengan harga purata ayam peringkat nasional.
Ia berkuatkuasa bermula 5 hingga 19 April ini melibatkan 22 jenis barangan termasuk bawang kuning besar, bawang merah besar import, cili kering, kelapa biji, daging lembu import dan ikan kembung.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan sebanyak 32,348 premis bazar ramadan diperiksa sejak 12 Mac hingga semalam melalui 'Op Pantau' di seluruh negara.
Pihaknya menerima 1,030 aduan melibatkan 146 kes merangkumi pelbagai kesalahan dan nilai kompaun keseluruhan sebanyak RM19,100.