
KANGAR, 27 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya negeri itu berdepan masalah kekurangan petrol.
- Bekalan bahan api di Perlis masih mencukupi dan terkawal.
- Gangguan operasi melibatkan pam tertentu disebabkan kerosakan teknikal menunggu alat ganti.
- Stesen yang terjejas menutup pam terlibat sementara; pam lain masih menjual RON95 dan RON97.
- Orang ramai dinasihat agar tidak panik, elak sebar maklumat tidak sahih dan rujuk saluran rasmi.
Pengarah KPDN Perlis, Rohaida Hassan berkata, bekalan bahan api di negeri itu ketika ini masih mencukupi dan berada dalam keadaan terkawal.
Menurut beliau, situasi yang berlaku di beberapa stesen minyak hanya melibatkan gangguan operasi pam tertentu.
“Daripada maklumat diperoleh, pam satu dan dua di sebuah stesen minyak mengalami kerosakan teknikal dan kerja pembaikan masih belum dapat diselesaikan sementara menunggu alat ganti.
“Oleh itu, stesen berkenaan mengambil tindakan menutup sementara pam terbabit sehingga isu selesai. Bagaimanapun, masih terdapat pam lain yang beroperasi untuk penjualan RON95 dan RON97,” katanya ketika dihubungi.
Dalam perkembangan sama, KPDN memaklumkan terdapat gangguan sementara di beberapa stesen lain, namun ia tidak menjejaskan keseluruhan bekalan petrol di negeri ini.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak panik serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih, sebaliknya merujuk kepada saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat tepat berhubung situasi sebenar.