fb fb fb fb fb

KPDN luluskan 198,046 kenderaan terima subsidi diesel setakat semalam

FOTO KPDN

KUALA LUMPUR, 13 Jun- Sebanyak 59,940 syarikat melibatkan sejumlah 198,046 kenderaan pengangkutan awam dan barangan diluluskan subsidi diesel bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) setakat semalam.

Permohonan menyertai Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) menunjukkan peningkatan kadar harian yang tinggi setelah pengumuman pelaksanaan penyasaran subsidi dan pelarasan harga baharu diesel bermula pada 10 Jun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah merintis perluasan BUDI MADANI : SKDS 2.0 pada 7 Mac lalu yang pada awalnya hanya terbuka kepada sembilan jenis kenderaan pengangkutan barangan.

Beliau berkata, pada 13 Mei lepas, SKDS 2.0 telah ditawarkan kepada tambahan 14 jenis pengangkutan barangan menjadikan keseluruhan 33 jenis pengangkutan yang terlibat.

Ini termasuk penerima awal SKDS 1.0 iaitu 10 jenis kenderaan pengangkutan awam.

Sehari sebelum pelarasan harga bermula iaitu pada 9 Jun 2024 , KPDN menerima keseluruhan permohonan daripada 40,264 syarikat yang melibatkan 156,242 kenderaan.

Kelulusan permohonan meningkat pada kadar tertinggi pada 10 Jun yang merekodkan 8,584 syarikat melibatkan 19,612 kenderaan pengangkutan awam dan barangan.

Ini adalah peningkatan sebanyak 7,097 syarikat dan 16,584 kenderaan berbanding 9 Jun lalu yang hanya mencatatkan kelulusan permohonan sejumlah 1,487 syarikat melibatkan 3,028 kenderaan.

KPDN menjangkakan permohonan akan terus meningkat khususnya sehingga 30 Jun nanti selaras dengan tarikh akhir pembayaran semula secara tunai kepada penerima SKDS yang masih belum menerima kad 'fleet'.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE