fb fb fb fb fb

KPDN lantik pakar kaji 'Lemon Law', keputusan akan dibentang di Parlimen tahun depan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali

PUTRAJAYA, 4 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji keperluan mewujudkan akta baharu atau meminda undang-undang sedia ada berkaitan ‘Lemon Law’.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata dapatan kajian akan dibentang di Parlimen seawal penggal pertama tahun hadapan.

"Bermula 1 Jun juga kita telah melantik perunding pakar untuk menyediakan laporan kajian. Mereka akan memulakan kerja bermula Jun hingga penghujung Setember.

"Laporan itu akan menjadikan asas kepada pertimbangan bagi kementerian mendapatkan keputusan dasar sama ada keperluan untuk mewujudkan satu akta khusus berkaitan dengan Lemon Law atau kita melaksanakan pindaan kepada akta sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Kepenggunaan Malaysia 2024; Pelaksanaan Lemon Law, di sini.

Tambah Armizan, sebelum keputusan kerangka perundangan baharu itu dimuktamadkan, dua langkah interim telah dilaksanakan KPDN bermula 1 Jun lalu.

Antaranya penubuhan Pasukan Rundingan Khas Berkaitan Aduan Kenderaan Bermotor dan pengukuhan proses Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia melalui kerjasama strategik dengan Bank Negara Malaysia (BNM).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN