
KUALA LUMPUR, 10 Mac – Sebuah premis kedai emas di sekitar Jalan Masjid India dikesan gagal mematuhi peraturan apabila tidak mempamerkan harga emas tulen 999.9 dengan jelas kepada pengguna.
- Peniaga tidak boleh guna alasan turun naik harga untuk tidak mempamerkan harga jualan jelas kepada pengguna.
- KPDN mengambil sampel dan uji ketulenan menggunakan X-Ray Fluorescence serta periksa resit untuk maklumat transaksi lengkap.
- Pesalah boleh dikenakan denda besar atau penjara; penguatkuasaan dipertingkat terutama menjelang musim perayaan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, alasan yang diberikan peniaga adalah harga emas sering berubah dalam tempoh singkat namun perkara itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mempamerkan harga kepada pengguna.
“Alasan yang diberikan adalah harga emas yang kerap berubah, malah boleh turun naik dalam tempoh setiap sejam. Namun begitu, pihak KPDN tidak dapat menerima alasan tersebut kerana peniaga tetap perlu menetapkan harga jualan yang jelas serta mempamerkannya kepada pengguna.
“Ini bagi memastikan pengguna mengetahui harga sebenar sebelum membuat sebarang keputusan pembelian,” katanya kepada media selepas membuat operasi ke atas premis.
Dalam operasi sama, KPDN turut menjalankan pemeriksaan tahap ketulenan emas dengan mengambil tiga hingga enam sampel secara rawak dari setiap premis sebelum diuji menggunakan alat X-Ray Fluorescence bagi memastikan tahap ketulenan emas adalah sama seperti yang diiklankan.
Selain itu, KPDN turut memeriksa pengeluaran resit jualan bagi memastikan setiap transaksi mengandungi maklumat lengkap termasuk nama dan alamat pembekal, tarikh pembelian, jenis dan standard ketulenan emas, harga logam bagi setiap 100 gram, berat, harga barangan serta kos pembuatan atau upah sekiranya ada.
Menurutnya, mana-mana individu yang gagal mematuhi peraturan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan berulang, individu boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. Manakala, bagi syarikat denda sehingga RM500,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM1 juta bagi kesalahan berulang.
Beliau menegaskan, KPDN akan terus mempergiat pemantauan khususnya menjelang musim perayaan berikutan trend pengguna membeli emas dan barangan kemas meningkat ketika tempoh tersebut.