
KOTA BHARU, 26 Mac -Ketegangan geopolitik yang menjejaskan bekalan minyak dunia menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan peningkatan aktiviti penyeludupan bahan api di kawasan sempadan.
- KPDN pantau 48 stesen minyak kawasan sempadan secara berterusan bagi mengawal pembelian petrol dan diesel disyaki untuk penyeludupan.
- Peningkatan kekerapan pemeriksaan dan penugasan pegawai tetap di stesen berisiko tinggi untuk mengelakkan ketirisan bahan bakar.
- KPDN jalankan rondaan, risikan dan operasi khas berterusan serta operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasa lain.
- KPDN tidak akan berkompromi terhadap ketirisan dan penyalahgunaan subsidi; masyarakat menghargai kerajaan mengekalkan subsidi harga minyak.
Perkembangan itu sekali gus mendorong pihak berkuasa memperketat pemantauan di stesen minyak.
Sebanyak 48 stesen minyak di kawasan sempadan Kelantan-Thailand berada bawah pemantauan berterusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bagi mengekang kegiatan pembelian petrol dan diesel yang disyaki untuk penyeludupan
ke negara jiran.
Timbalan Pengarah KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, pihaknya kini meningkatkan kekerapan pemeriksaan di stesen minyak berkenaan bagi mengelakkan penyelewengan bahan bakar oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Kita juga menugaskan pegawai secara tetap di beberapa stesen yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi berlakunya ketirisan.
“Dalam keadaan krisis semasa, kita turut meningkatkan tahap kesiapsiagaan dengan menempatkan pegawai bertugas dari pagi hingga malam,” katanya kepada pemberita ketika meninjau dan membuat pemeriksaan rutin di
beberapa stesen minyak di sekitar sempadan di Pengkalan Kubor, Tumpat.
Menurutnya, KPDN turut melaksanakan rondaan, risikan serta operasi khas secara berterusan, termasuk operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain bagi memperkukuh kawalan di kawasan sempadan.
Katanya KPDN tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketirisan dan penyalahgunaan subsidi, khususnya dalam situasi semasa yang memerlukan kawalan rapi terhadap bekalan serta harga bahan api.
Sementara itu, rata-rata masyarakat yang ditemui RTM menyatakan bahawa pemantauan kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) amat penting bagi mengelakkan ketirisan.
Mereka turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana masih mengekalkan subsidi.
“Terima kasih banyak kepada kerajaan kerana prihatin terhadap rakyat yang terkesan serta mengekalkan harga demi kesejahteraan rakyat,” Kadir Mohd.
“Walaupun dalam keadaan krisis seperti perang dan sebagainya, harga minyak kita masih kekal pada RM1.99. Meskipun berdepan krisis besar, kerajaan tetap mengutamakan kepentingan rakyat,” Nur Habibi Mahisyam.