fb fb fb fb fb

KPDN Kedah tumpas sindiket penyelewengan diesel di Baling

FOTO KPDN KEDAH

ALOR SETAR, 14 Mei- Satu sindiket penyelewengan diesel di Baling, Kedah berjaya ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi serbuan di sebuah stesen minyak di daerah itu, semalam.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan serbuan pada 1 tengah hari oleh anggota dan pegawai KPDN Cawangan Baling itu hasil risikan sejak beberapa minggu lepas.

"Ketika serbuan terdapat tiga lelaki warga tempatan berumur antara 20 hingga 30 tahun sedang mengisi minyak diesel ke dalam tiga tong plastik yang berada di bahagian belakang sebuah lori.

"Pemeriksaan lanjut menemukan minyak diesel dianggarkan berjumlah 500 liter bernilai RM1,075 telah diisi ke dalam tong-tong plastik berkenaan," katanya dalam kenyataan tersebut.

Beliau berkata seorang individu yang mengaku sebagai pemilik lori itu gagal mengemukakan sebarang permit yang sah untuk memiliki barang kawalan berkenaan.

"KPDN telah menyita minyak diesel berkenaan bersama tiga tong plastik berkapasiti 200 liter setiap satu dan sebuah lori yang jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai lebih RM25,000. Tiga lelaki berkenaan serta seorang pekerja stesen minyak itu turut ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE