KULAI, 17 Disember-Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor melupuskan barangan kes bernilai lebih RM2.1 juta sepanjang tahun ini.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, tindakan pelupusan pelbagai barang kes itu melibatkan 152 kertas siasatan yang telah selesai.
"Berdasarkan rekod, sepanjang tahun 2024, KPDN Johor telah menghasilkan sebanyak 1,287 kes dengan jumlah nilai sitaan sebanyak lebih 29 juta, selain hasil kutipan kompaun dan denda lebih RM1 juta", katanya demikian semasa Program Pelupusan Ekshibit Perdana di Kompleks Penyimpaban Ekshibit Senai, di sini.
KPDN Johor turut melupuskan pelbagai barangan kes dianggarkan bernilai RM113 ,652 daripada 23 kes yang telah selesai bagi tahun 2021 hingga 2024.
Ia melibatkan 45,374 unit barangan pelbagai jenis termasuk pakaian, aksesori telefon, topi keledar dan lain-lain.
Kesemua barangan itu dirampas kerana kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Cap Dagang 2019, Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1964 serta Akta Perlindungan Pengguna 1999.