fb fb fb fb fb

KPDN cadang wujud direktori peniaga Menu Rahmah

SENAWANG, 12 April - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sudah menerima sebanyak 901 pendaftaran dari peniaga Bazar Ramadan Rahmah (BRR) bagi melaksanakan inisiatif Menu Rahmah.
 
Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata beliau menjangkakan pada tahun hadapan jumlah peniaga akan meningkat sekali ganda dengan sistem pendaftaran yang lebih efisyen serta mempergiatkan lagi promosi mengenai inisiatif berkenaan.

"Susulan sambutan mengalakkan itu kementerian bercadang untuk membangunkan pangkalan data yang lebih komprehensif bagi memperluaskan Menu Rahmah untuk dipasarkan di pasar malam dan pasar harian," katanya selepas mengadakan tinjauan mesra dan melancarkan BRR dan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (REDI) Peringkat Negeri Sembilan di BRR Bandar Prima, Senawang, di sini, hari ini.

Salahuddin berkata kementerian akan pastikan bahawa peniaga dapat meneruskan aktiviti mereka untuk berniaga di Bazar Ramadan, pasar malam atau pasar harian.

(FOTO BERNAMA)

Selain itu beliau turut prihatin dengan keluhan beberapa peniaga yang mengalami masalah penjualan makanan Menu Rahmah pada skala yang kecil.

"Saya ada mendengar keluhan itu, kita hantar pegawai berjumpa dan temu bual mereka, boleh dikatakan yang mengadu itu kes terpencil kerana melalui pemerhatian kita, mungkin lokasi penyediaan menu belum dikenali dan perkara itu diambil perhatian supaya dapat pergiatkan promosi menu tersebut," tambah beliau.

Terdahulu, Salahuddin menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah iaitu sepersalinan pakaian kepada 50 anak yatim dan asnaf serta menyampaikan sumbanganSuruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kepada 10 asnaf dari Taman Satria Senawang.

Media Baharu