
KUALA LUMPUR, 10 Mac – Kos rawatan di hospital swasta menerusi Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP) akan dirunding supaya lebih rendah dan berpatutan, meskipun caj asal perkhidmatan di hospital swasta biasanya lebih tinggi.
- Harga perkhidmatan hospital swasta ditentukan melalui rundingan untuk memastikan kadar bayaran lebih kompetitif.
- Secara purata harga prosedur berkurang selepas rundingan dan hospital mendapat jumlah pesakit yang lebih tinggi.
- Kementerian melaksanakan Diagnosis Related Group untuk menstandardkan caj, kawal kos perubatan, dan tingkatkan ketelusan serta kecekapan.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, harga perkhidmatan tersebut ditentukan melalui rundingan dengan pihak hospital swasta, bagi memastikan kerajaan memperoleh kadar bayaran yang lebih kompetitif.
“Tetapi lebih mustahak adalah walaupun caj mereka tinggi, dalam proses rundingan akhirnya mereka perlu menurunkan harga apabila kerajaan membeli perkhidmatan daripada mereka.
Apabila diambil secara purata, kita dapati bagi setiap prosedur harga itu diturunkan, manakala pihak hospital pula memperoleh jumlah pesakit yang lebih tinggi,” katanya menjawab soalan tambahan di Dewan Negara, hari ini.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan Kementerian Kesihatan turut melaksanakan pembaharuan sistem pembayaran kesihatan melalui pendekatan Diagnosis Related Group (DRG).
Pendekatan itu bertujuan menstandardkan caj rawatan serta membantu mengawal peningkatan kos perubatan, khususnya di sektor hospital swasta.
Melalui sistem berkenaan, kadar bayaran rawatan akan ditentukan berdasarkan jenis diagnosis dan prosedur perubatan, sekali gus membantu meningkatkan ketelusan serta kecekapan dalam pengurusan kos rawatan.