fb fb fb fb fb

Koridor Perindustrian Tengah, pacu pembangunan untuk manfaat rakyat

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun / Foto RTM

SEREMBAN, 30 September – Rancangan untuk mewujudkan Koridor Perindustrian Tengah yang melibatkan Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur dijangka membawa impak positif kepada penduduk di keempat-empat negeri berkenaan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata koridor ini penting bagi pembangunan ekonomi kerana ia merangkumi 45 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Katanya, kerajaan negeri kini berharap agar kerajaan persekutuan dapat meluluskan cadangan pembangunan koridor tersebut.

“Koridor ini sangat penting, dan saya berharap ia dapat diluluskan. Keempat-empat negeri telah bersetuju bahawa koridor ini perlu dilaksanakan dengan segera kerana ia merangkumi 45 peratus daripada KDNK negara. Sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh, saya yakin jumlah itu dapat melebihi paras tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Townhall Sejahtera Waghih Negeri di Dewan Komuniti Taman Coral Sikamat, di sini.

Tambah Aminuddin, permohonan RM700 bilion untuk penyediaan infrastruktur yang melibatkan empat negeri itu juga diharap dapat dipercepatkan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Koridor Perindustrian Kawasan Tengah ini berpotensi membawa perubahan besar dan merancakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan sempadan Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan,” tambahnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN