fb fb fb fb fb

Koperasi digalak teroka bidang hartanah, pembinaan

Datuk Ewon Benedick melancarkan Projek Rumah Selangorku: Shorea Garden yang dimajukan oleh Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad

PUTRAJAYA, 18 Julai- Gerakan Koperasi negara digalak meneroka bidang pembangunan hartanah dan pembinaan yang boleh memberikan impak yang tinggi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, perkara itu bagi memastikan koperasi mampu bersaing dalam pelbagai bidang terutama dalam sektor hartanah.

Selain daripada perolehan, ahli-ahli koperasi juga mendapat manfaat untuk memiliki hartanah yang dibangunkan oleh koperasi sendiri.

"Saya menggalakkan supaya koperasi ini menceburi sektor hartanah kernana pada masa ini rakyat kita
sudah tentu ingin memiliki rumah sendiri dan sebagainya.

"...ini satu potensi yang besar dalam masa sama kita mengalu-alukan penyertaan koperasi yang terlibat dalam sektor hartanah ini untuk menyertai federasi koperasi hartanah," katanya dalam majlis makan malam dan Apresiasi Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan di sini.

Pada majlis tersebut, beliau turut melancarkan New Strategic Initiative (NSI) SKM Wilayah Persekutuan, iaitu Projek Rumah Selangorku: Shorea Garden yang dimajukan oleh Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad .

Projek Rumah yang bernilai RM63.8 juta itu merupakan projek pembangunan usahasama antara Koperasi Sahabat Berhad dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor.

Dengan jumlah keseluruhan 230 unit dan keluasan keseluruhan tapak projek 10 ekar pada harga bermula RM275,000.

Projek itu memberi peluang kepada pendapatan isi rumah tidak melebihi RM14,500 memiliki rumah sama ada melalui projek kerajaan atau swasta di Selangor.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI