KUALA LUMPUR, 6 September - Konvoi Kembara Amal Merdeka 2025 menjadi manifestasi semangat kemerdekaan yang dizahirkan melalui tindakan, apabila lebih 40 peserta menyertai program selama dua hari ke Kampung Orang Asli Chinggung, Mualim, Perak.
Rombongan berkonvoi enam kenderaan dan motosikal itu, membabitkan kerjasama Masjid Muhammadi Angkasapuri, Asyik FM, Kelab Sukarelawan Sepakat Malaysia (KSSM) serta pelajar Pusat Pengajian Tahfiz Ar-Raudhah.
Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, pelbagai pengisian dianjurkan termasuk sukaneka, pemberian bakul makanan, kuliah agama dan pertandingan lagu patriotik bagi menyantuni masyarakat setempat.
Presiden KSSM, Norfarhana Mustapa pula menjelaskan, program itu bukan sahaja membawa bantuan makanan dan peralatan solat, malah membuka ruang memahami cara hidup masyarakat Orang Asli.
“Permintaan penduduk sendiri turut dipenuhi dengan penganjuran bola sepak lelaki dan wanita, sukaneka kanak-kanak, senamrobik serta gotong-royong mengecat surau,” katanya.
Acara turut disokong Jabatan Agama Islam Perak, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta tok batin setempat. Pada malam program, suasana lebih meriah dengan sesi nyanyian lagu patriotik, sebelum esoknya sukarelawan bersama penduduk bergotong-royong membersihkan surau kampung.
Antara penyumbang bagi menjayakan program ini ialah Bank Simpanan Nasional, Yayasan Nadi, JAKOA, Masjid Muhammadi dan Jabatan Agama Islam Perak.