
KUANTAN, 12 Februari – Mana-mana kontraktor pembinaan yang mempunyai rekod prestasi baik akan diberikan keutamaan untuk dipilih mendapatkan projek kerajaan bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR).
- Kontraktor dengan rekod prestasi baik diberi keutamaan dalam pemilihan tender projek KKR.
- Kriteria utama termasuk siap awal, mengikut jadual, kekukuhan kewangan dan tiada denda.
- Majoriti projek KKR berjalan lancar; 61.75% kini dalam fasa pembinaan berjalan lancar.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keutamaan itu diberikan sebagai nilai tambah kepada mana-mana kontraktor yang ingin memohon tender projek kerajaan selepas ini di samping ingin mengurangkan projek sakit.
Antara kriteria utama diambil kira adalah memiliki rekod menyiapkan projek lebih awal atau ‘ahead of time’ (AOT), projek mengikut jadual serta mempunyai markah tinggi dalam lembaga perolehan.
“Mereka akan mendapat markah lebih tinggi kerana dalam Lembaga Perolehan (LP), terdapat beberapa kriteria penilaian. Contohnya, kekukuhan kewangan syarikat, selain mempunyai rekod prestasi yang baik.
“Kriteria lain termasuk syarikat tidak pernah didenda dan tidak pernah terlibat dengan projek bermasalah. Ini bermakna projek terdahulu berjalan lancar, sekali gus memberi kelebihan apabila menyertai tender akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke projek menaik taraf jalan FT1486 dari persimpangan lampu isyarat Bukit Goh ke KotaSAS daerah Kuantan, di sini.
Dalam pada itu Datuk Seri Ahmad memaklumkan, hasil Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pelanggan Bilangan 1 tahun 2026 yang dipengerusikan oleh beliau hari ini, menunjukkan prestasi positif apabila majoriti projek pembinaan kini berjalan lancar, termasuk sebahagiannya yang mendahului jadual pelaksanaan.
Ketika ini daripada 855 projek selian kementerian kerja raya berada dalam fasa pembinaan, sebanyak 528 projek atau 61.75 peratus daripadanya didapati berjalan lancar.
“Daripada 855 projek pembinaan bernilai RM49.7 bilion di seluruh Malaysia, sebanyak 255 projek atau 29.8 peratus tergolong dalam kategori awal jadual, jika dibundarkan kira-kira 30 peratus. Manakala 273 projek atau 32 peratus mengikut jadual.
“Saya memantau satu persatu projek bermasalah. Daripada jumlah keseluruhan, terdapat 35 projek sakit daripada 855 projek,” katanya.
Setakat 26 Januari lalu, sebanyak 2,607 projek fizikal pembinaan bernilai RM154.403 bilion telah dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), selaku agensi teknikal negara.
Daripada jumlah tersebut, 19 peratus dikenal pasti berstatus projek sakit, namun berada dalam pemantauan rapi dan berterusan di semua peringkat pelaksanaan bagi memastikan tindakan pemulihan dapat dilaksanakan segera.
Bagi tahun 2025, JKR turut berjaya menyiapkan 526 projek fizikal pembinaan dan memperoleh Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC), melibatkan kos RM6.895 bilion merangkumi projek bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan RMK12.