BETONG, 19 Jun- Timbalan Premier Sarawak Datuk Douglas Uggah Embas mengingatkan kontraktor yang menjalankan projek pembinaan jalan baharu di negeri ini supaya tidak bergantung terhadap penggunaan jentera lama atau usang memandangkan sering mengalami kerosakan.
Uggah yang juga Menteri Infrasktruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata apabila kerosakan berlaku, maka banyak masa akan terbuang untuk pembaikan atau menunggu untuk mendapatkan alat ganti sekali gus menyebabkan pelaksanaan projek tertangguh.
“Rakyat akan mempersoalkan integriti dan kesungguhan kontraktor dalam menyiapkan projek yang diberikan apabila jentera digunakan kerap rosak,” katanya berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Penyulok/Nanga Penebak di Ulu Layar di sini hari ini.
Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah diarahkan untuk memantau dengan ketat kemajuan pembinaan jalan raya oleh kontraktor terlibat dan tidak akan teragak-agak untuk menamatkan kontrak mereka yang gagal mematuhi pelan kerja, skop dan jadual siap ditetapkan.
“Hal ini bagi mengelak sebarang projek terbabit menjadi projek tertangguh atau projek tertangguh secara kritikal,” katanya sambil menambah apabila projek tertangguh, rakyat sebagai penerima manfaat akan menyalahkan kerajaan dan wakil rakyat mereka.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu pada majlis berkenaan berkata projek menaik taraf jalan raya merupakan usaha berterusan kerajaan dalam meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar.
Projek melibatkan kos RM15.3 juta yang dijadual siap pada akhir tahun depan itu meliputi kerja menaik taraf jalan sepanjang 4.83 kilometer kepada jalan R1 mengikut spesifikasi JKR dan turut dilengkapi lampu jalan menggunakan tenaga solar.- BERNAMA