fb fb fb fb fb

Kontena bawa aiskrim tiada permit import dari Taiwan diarah berpatah balik

FOTO MAQIS Pulau Pinang

BUTTERWORTH, 30 September- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Pulau Pinang hari ini memaklumkan telah mengarahkan kontena dagangan berisi aiskrim dari negara Taiwan seberat 3,772.78 kg berpatah balik ke negara asal.

MAQIS Pulau Pinang menerusi satu kenyataan berkata, dagangan yang dianggarkan bernilai RM355,874.59 itu tidak dibenarkan masuk ke dalam negara selepas pemeriksaan rutin mendapati barang dagangan berkenaan tidak mempunyai permit import yang sah.

Kenyataan itu menyebut, perbuatan mengimport produk berasaskan haiwan tanpa permit yang sah adalah menjadi satu kesalahan bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum bawah Seksyen 11(3), Akta yang sama.

"Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

"Pihak MAQIS mengingatkan kepada semua pemain industri agar sentiasa merujuk dan mematuhi syarat-syarat perdagangan import dan eskport negara.

"Sebarang perbuatan yang tidak mematuhi syarat adalah menjadi suatu kesalahan dan tindakan tegas akan dikenakan, " jelas kenyataan tersebut.

MAQIS Pulau Pinang turut memaklumkan, pihaknya tidak akan berkompromi kepada mana-mana syarikat yang melanggar ketetapan undang-undang demi menjamin keselamatan dan keterjaminan industri makanan negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE