fb fb fb fb fb

Konservasi buah hasil, Tapir Malaya tempa jalan pulang ke rimba

FOTO RTM

KUALA KUBU BHARU, 26 April- Usaha konservasi Tapir Malaya menunjukkan kejayaan apabila tapir yang lahir dalam kurungan kini melalui proses rewilding untuk kembali ke habitat asal.

Proses ini bantu pulihkan naluri semula jadi tapir, termasuk mencari makanan sendiri, sekali gus kurangkan kebergantungan terhadap manusia.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kejayaan awal program konservasi yang dilahirkan dalam kurungan kini sedang melalui proses rewilding dan bakal dilepaskan ke habitat liar secara berperingkat.

“Tapir yang dibiakkan dalam kurungan kini sedang melalui proses rewilding sebelum dilepaskan ke kawasan hutan. Proses ini penting supaya tapir dapat menyesuaikan diri semula daripada biasa bergantung kepada makanan diberi manusia, kepada mampu cari makanan sendiri di habitat liar.

"Setakat ini, kita lihat ia menunjukkan kejayaan dan kita akan teruskan usaha ini. Walaupun lahir dalam kurungan, matlamat kita tetap nak lepaskan tapir ini hidup bebas di hutan,” katanya.

Sementara itu, menteri turut memaklumkan bahawa kerja-kerja rewilding kini memasuki fasa kedua dengan penambahan elemen.

“Sebelum ini, sistem rewilding lebih statik, tapi sekarang kita dah perkenalkan beberapa elemen teknologi baharu, supaya lebih selamat dan berkesan. Kita tengah pantau pemasangan di beberapa lokasi, tengok apa kelemahan dan kekurangan yang ada. Ini merupakan satu inovasi baru dalam usaha konservasi tapir,” jelasnya lagi.

Selain itu, pemasangan awal telah dilakukan di kawasan Gerik, Perak dan juga di Kedah.

Pihak kementerian juga sedang menilai keperluan untuk memperluaskan sistem tersebut ke negeri lain termasuk Selangor, yang mempunyai populasi tapir yang tinggi.

Beliau berkata selepas merasmikan Hari Tapir Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 hari ini di Sungai Dusun, Selangor.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE