fb fb fb fb fb

Konsep warisan Melayu, pembangunan baharu ibu negara

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 19 Ogos- Pembangunan baharu di sekitar Dataran Merdeka hingga ke Masjid Negara perlu memberi penekanan terhadap konsep warisan Melayu selain perlu mempunyai ciri unik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ciri itu dilihat amat penting bagi memastikan bandar Kuala Lumpur tidak hanya menjadi 'hutan konkrit' semata-mata.

"Pembangunan Kuala Lumpur ini harus ada ciri unik kita tidak mahu Kuala Lumpur jadi hutan konkrit, maka hijaunya apa yang disebut kawasan daripada Padang Merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad sepanjangnya itu akan dijadikan kawasan warisan.

"Walaupun ada sumbangan daripada kaum-kaum lain, warisan di tanah melayu ini tentunya yang menjadi tonggaknya masih warisan melayu yang harus ketara dalam gambaran pembangunan baru di seluruh koridor dari Bangunan Sultan Abdul Samad," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di sini.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disaran mewujudkan satu kawasan khusus warisan 'Dunia Melayu', meliputi aspek kehidupan mencerminkan seni budaya tinggi dan warisan Melayu.

Selain itu, tumpuan terhadap warung dan restoran kecil perlu diberi perhatian, kerana ia sering digunakan oleh masyarakat.

Anwar sebelum ini dilapor berkata pembangunan warung, gerai serta restoran yang bersih dan indah diberi tumpuan agar ia menjadi mercu tanda untuk setiap negeri dan bandar di seluruh negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI