(Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kanan) melihat seni tulisan khat oleh Yusuf Liu Baojun (kiri) ketika melawat ke pameran pada majlis perasmian Kompleks Pendidikan Baitul Ridzuan (KOBAR) dan pelancaran Sekretariat Masyarakat Madani Tambun (SMAT) anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Jalan Raja, Kampung Manjoi hari ini.
Turut hadir Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid (tiga, kanan)/FOTO BERNAMA)
IPOH, 29 Januari - Konsep 'Malaysia Madani' yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan retorik atau slogan semata-mata.
Justeru, semua pihak perlu memahami makna di sebalik konsep 'Malaysia Madani' yang seterusnya mampu memberi kesan perubahan kepada rakyat secara menyeluruh.
"Apa yang kita nak Masyarakat Madani adalah nilai dan akhlak. Dalam Facebook tak ada maki hamun, kita mempunyai nilai, akhlak. Kita orang Malaysia yang berakhlak mulia.
"Sebagai seorang Malaysia yang mempunyai tamadun yang mahu kita semua menjadi manusia yang baik.
"Masyarakat Madani adalah masyarakat beradab, menjunjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan. Maju dalam penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi," katanya yang mewakili Perdana Menteri ketika merasmikan Kompleks Pendidikan Baitul Ridzuan (KOBAR) dan pelancaran Sekretariat Masyarakat Madani Tambun (SMAT) anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di sini.
(Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tiga, kanan) menghadiri majlis perasmian Kompleks Pendidikan Baitul Ridzuan (KOBAR) dan pelancaran Sekretariat Masyarakat Madani Tambun (SMAT) anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Jalan Raja, Kampung Manjoi hari ini.
Turut hadir Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid (dua, kanan)/FOTO BERNAMA)
Perdana Menteri baharu-baharu ini memperkenalkan konsep 'Malaysia Madani' sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.
Madani diacu berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.