fb fb fb fb fb

Kongres Nasional PKR 2023 bermula hari ini

Persiapan akhir dilakukan di Dewan A menjelang Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 November- Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 bermula hari ini dengan tumpuan terarah kepada ucapan perasmian serentak Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita oleh Timbalan Presiden Rafizi Ramli.

Kongres yang mengangkat tema “Memaknai Reformasi, Menjulang MADANI” itu berlangsung selama dua hari dan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Pada kongres AMK dan Wanita itu, para perwakilan kedua-dua sayap bakal disajikan tayangan montaj 25 tahun Reformasi Keadilan dan genap setahun Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10.

Sejurus selepas perasmian, kedua-dua sayap berkenaan akan memulakan kongres masing-masing dengan ucapan dasar Ketua AMK Adam Adli Abd Halim dan Ketua Wanita Fadhlina Sidek, disusuli sesi perbahasan ucapan dasar ketua sayap.

Ia diikuti dengan sesi penggulungan oleh setiausaha, naib ketua, timbalan ketua dan ketua sayap masing-masing.

Dalam pada itu, Anwar dijadualkan menyampaikan ucapan dasar pada 8.30 malam sekali gus merasmikan Kongres Nasional peringkat pusat parti itu.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Rabu lepas dilaporkan berkata Kongres Nasional itu akan dihadiri 2,374 perwakilan dan 1,500 pemerhati selain turut dihadiri pimpinan utama parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan serta 50 perwakilan kedutaan asing.

Beliau berkata isu kemakmuran ekonomi, kebajikan dan keadilan sosial, tatakelola pentadbiran yang baik dan kestabilan politik akan menjadi tumpuan utama dalam perbahasan.

Menteri Dalam Negeri itu juga berkata menerusi kongres berkenaan, PKR akan sekali lagi menegaskan mesej dan pendirian terhadap isu kemanusiaan yang berlaku sejak berlaku kemelut Palestin dan Israel selain mengadakan slot khas bagi memperingati mangsa kekejaman rejim Zionis itu.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE