fb fb fb fb fb

Konflik rumah tangga: Paling banyak berlaku dalam pasangan usia 35-39 tahun

Tengku Temenggong, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz (kanan) dan Rohani (tiga dari kiri) semasa Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Mydin Mall, Tunjong di Kota Bharu hari ini/FOTO Mydin Kelantan

KOTA BHARU, 28 November - Tiada persefahaman, pasangan curang dan campur tangan mentua antara punca utama berlaku penceraian dalam kalangan pasangan berusia antara 35 hingga 39 tahun di negara ini.

Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Seri Rohani Abdul Karim mendedahkan sebanyak (56.2) peratus lelaki menyatakan mereka bercerai kerana tiada persefahaman dengan pasangannya, diikuti pasangan curang (11.8 peratus) dan campur tangan mentua atau ipar duai (10 peratus).

Dapatan itu berdasarkan kajian dan laporan yang dilakukan oleh LPPKN.

Hasil dapatan sama bagi wanita juga menunjukkan tiada persefahaman turut mencatatkan peratusan yang tertinggi punca mereka bercerai dengan pasangan iaitu 38 peratus.

Ini diikuti pasangan curang (20.5 peratus) dan pasangan tidak bertanggungjawab (15.2 peratus).
 
Selain itu, campur tangan pihak ketiga termasuk mentua mencatatkan (6 peratus), enggan dimadukan (2.8 peratus), masalah kewangan (4.7 peratus) dan lain-lain punca seperti didera, tiada zuriat serta terlibat kes jenayah (10.4 peratus).
 
“Konflik dihadapi pasangan itu selepas tempoh perkahwinan lima hingga 10 tahun. Mereka akan diberikan sesi kaunseling terlebih dahulu dengan dibantu 18 kaunselor dan dua panel di seluruh negara.

"Pasangan juga akan dibantu mengikut kesesuaian masalah konflik yang dihadapi mereka. LPPKN berhasrat untuk memastikan pasangan masing-masing mengembalikan semula kasih sayang bagi mengelak perceraian,” katanya selepas Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Tunjong di sini hari ini.
 
Majlis Perasmian Sambutan di sempurnakan Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.
 

GRACE AISYAH KEDAYAN