fb fb fb fb fb

Konflik Gaza, Anwar gesa Jerman guna pengaruh desak gencatan senjata

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 12 Januari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Jerman supaya menggunakan pengaruhnya bagi mendesak gencatan senjata dalam konflik antara Israel dan Palestin, sekali gus membenarkan akses bantuan kemanusiaan.

Anwar menyatakan pandangan itu kepada Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock, yang mengadakan kunjungan hormat terhadap beliau di Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

“Bahagian utama perbincangan adalah mengenai Palestin di mana saya menegaskan pendirian Malaysia agar Barat menghentikan kepura-puraan mereka terhadap pendudukan Israel selama beberapa dekad, selain mesti berusaha ke arah mengelak pembantaian terhadap orang awam termasuk anak kecil,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya hari ini.

Selain itu, Anwar berkata mereka juga senada supaya keperluan untuk menegakkan hak wanita dan kanak-kanak perempuan untuk pendidikan diberi penekanan khusus selain menyatakan kebimbangan terhadap isu Myanmar yang masih berlarutan.

Anwar memaklumkan beberapa perkara lain turut dibincangkan dan mendapat persetujuan bersama dalam pengukuhan berkaitan aspek ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain meningkatkan persefahaman antara budaya.

Baerbock dan delegasinya kini sedang dalam lawatan ke Asia Tenggara iaitu Filipina dan Singapura selain Malaysia.

Jerman merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU) sejak 2000, manakala Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Jerman dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.- BERNAMA

Artikel Berkaitan:
PM terima kunjungan Menteri Luar Jerman bincang perdagangan, isu keselamatan

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM