Konflik di Asia Barat jejaskan ekonomi dunia, rakyat digesa berjimat cermat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim / FOTO BERNAMA

PERMATANG PAUH, 7 Mac – Rakyat digesa untuk berbelanja secara berhemat susulan konflik di Asia Barat yang kini turut memberi impak kepada kestabilan ekonomi dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga minyak dunia meningkat sehingga dua kali ganda, menambah tekanan kepada pasaran tenaga global.
  • Kerajaan berusaha mempertahankan harga petrol RM1.99 seliter walaupun ketahanan langkah ini tidak pasti.
  • Kesesakan lebih 200 kapal tangki di Selat Hormuz menaikkan kos pengangkutan, menjejaskan harga makanan dan baja import.

Perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketegangan di rantau itu membawa kepada peningkatan harga makanan dan barangan, selain mengakibatkan harga minyak dunia meningkat sehingga dua kali ganda.

Justeru, rakyat perlu mengambil langkah berwaspada dan bijak dalam mengurus kewangan untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi.

“Hal ini bukan berlaku untuk satu negara, malah puluhan negara terlibat. Dalam peperangan pun, puluhan negara juga yang kesannya, harga barang juga meningkat tinggi.

“Jadi sementara keadaan sekarang terkawal, saya bertanggungjawab mengingatkan rakan-rakan supaya cermat, boleh simpan-simpan. Dalam bulan puasa, raya, jangan boros tidak tentu arah.

“Ini kerana kita belum dapat menjangka keadaan ekonomi berapa lama boleh bertahan. Pandai-pandai urus ekonomi. Kalau datang kegawatan yang begitu rupa, tidak mudah kita selesaikan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Masjid Jamek Mengkuang Titi dan Sambutan Nuzul Al-Quran 1447 Hijrah di sini.

Menyentuh berkaitan harga minyak global, kerajaan sedang mencari jalan untuk mempertahankan harga minyak RON95 pada kadar semasa iaitu RM1.99 seliter meskipun tidak pasti dalam tempoh berapa lama berikutan situasi di Teluk Hormuz.

“Saya berusaha mempertahankan harga petrol pada kadar RM1.99 seliter, namun kita tidak pasti berapa lama ia dapat dikekalkan kerana harga minyak dunia sudah meningkat dengan ketara.

Selain itu, kapal-kapal besar yang membawa minyak dan gas melalui Selat Hormuz turut terjejas apabila lebih 200 kapal tangki yang mengangkut minyak, gas serta peralatan kejuruteraan terkandas di laluan berkenaan,” jelasnya.

Perdana Menteri berkata situasi itu turut menyebabkan kos pengangkutan meningkat dan memberi kesan kepada harga barangan lain termasuk makanan serta baja yang diimport dari Ukraine, Rusia dan Eropah.