
PETALING JAYA, 28 Mac – Langkah proaktif terus diambil Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Tourism Malaysia bagi memastikan sektor pelancongan negara kekal berdaya tahan dan berkembang meskipun konflik Asia Barat ketika ini dilihat memberi kesan kepada pergerakan pelancong antarabangsa.
- Tourism Malaysia merangka strategi menarik pelancong dari pasaran terjejas supaya mengalihkan destinasi percutian mereka ke Malaysia.
- Memperkukuh promosi Malaysia sebagai destinasi alternatif yang selamat dan pelbagai.
- Mengangkat kepelbagaian tarikan termasuk pantai, gunung, bandar, budaya dan makanan unik untuk pelancong.
- Memperkasakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa dan meningkatkan ketibaan.
Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia/Afrika) Tourism Malaysia, Nuwal Fadhilah Ku Azmi berkata, beberapa strategi sedang dirangka untuk menarik pelancong daripada pasaran yang terjejas supaya mengalihkan destinasi percutian mereka ke Malaysia.
Usaha itu termasuk memperkukuh promosi Malaysia sebagai destinasi alternatif yang selamat dan pelbagai.
“Malaysia menawarkan pelbagai tarikan menarik termasuk pantai, gunung-ganang dan destinasi bandar setanding dengan apa yang terdapat di negara lain.
“Selaras dengan konsep Malaysia Truly Asia, negara ini kaya dengan kepelbagaian budaya serta makanan yang unik untuk diterokai. Justeru, Tourism Malaysia bersama MOTAC akan terus berusaha menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke Malaysia,” katanya ketika ditemui RTM selepas merasmikan program ‘Kebaya Raya Malaysia’ di sini, hari ini.
Menurut Nuwal Fadhilah, kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 akan terus diperkasa bagi menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.
Beliau optimis langkah-langkah yang diambil mampu meningkatkan ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia, dalam tempoh terdekat.