
KUALA LUMPUR, 4 Mac- Malaysia menyatakan komitmen berterusan untuk mempromosikan keamanan dan kemakmuran susulan ketegangan di Asia Barat yang masih berlanjutan.
- Malaysia komited mempromosikan keamanan dan kemakmuran susulan ketegangan di Asia Barat.
- Kerajaan mengutuk serangan dan mengeluarkan kenyataan rasmi selaras dasar luar negara.
- Malaysia tidak menyokong penubuhan "Board of Peace" kerana pelaksanaannya masih tidak jelas.
- Tindak lanjut diumumkan segera untuk melindungi rakyat Malaysia di negara bergolak.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata Malaysia turut mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk serangan, selaras dasar luar negara yang konsisten memperjuangkan keamanan dan kemakmuran sejagat.
Beliau menambah, Malaysia juga menegaskan pendirian tidak menyokong cadangan penubuhan ‘Board of Peace’ kerana pelaksanaannya masih kurang jelas mengenai tindakan menangani punca sebenar konflik.
“Kita meneliti terlebih dahulu dan cuba promosikan keamanan serta memberi penjelasan sekiranya diperlukan. Berkenaan apa yang berlaku, kita akan keluarkan kenyataan, dan baru-baru ini kenyataan kita mengutuk serangan (Israel ke atas Iran).
“Kebimbangan kita khususnya terhadap rakyat Malaysia di negara yang sedang bergolak dan satu tindakan akan diumumkan tidak berapa lama lagi… dalam beberapa jam lagi,” katanya.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Prof. Emeritus Dr. Mohammad Redzuan Othman pada persidangan Dewan Negara di Parlimen.
Senator Datuk Prof. Emeritus Dr. Mohammad Redzuan meminta menteri menjelaskan langkah-langkah diplomatik di peringkat antarabangsa yang diambil Malaysia bagi menyekat pembunuhan, keganasan dan sekatan Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza, walaupun gencatan senjata telah dipersetujui pada Oktober tahun lalu.