Konflik Asia Barat: Malaysia perlu perkukuh dasar keterjaminan makanan

Foto UPM

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Konflik berpanjangan di Asia Barat berpotensi memberi tekanan kepada rantaian bekalan makanan global terutamanya peningkatan kos tenaga, sekali gus memberi kesan kepada harga makanan di seluruh dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebergantungan import makanan bersih melebihi 50% menunjukkan risiko struktur terhadap gangguan bekalan antarabangsa.
  • Kenaikan harga minyak mentah meningkatkan kos pengangkutan, baja dan input pertanian, menekan harga makanan.
  • Kesannya dijangka lebih kepada implikasi harga, bukan ketersediaan fizikal makanan di negara ini.
  • Perkukuh dasar keterjaminan makanan: tingkatkan pengeluaran domestik teknologi moden, pelbagaikan sumber import, tingkatkan R&D dan pengurusan stok strategik.

Pengarah Pusat Pertanian Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Ts. Dr. Siti Zaharah Sakimin berpendapat kenaikan harga minyak mentah akibat ketidaktentuan geopolitik akan meningkatkan kos pengangkutan, baja dan input pertanian lain.

“Negara pengimport makanan seperti Malaysia boleh terkesan secara tidak langsung melalui peningkatan kos logistik dan harga bahan import walaupun tidak bergantung terus kepada negara-negara yang terlibat dengan konflik.

“Bagaimanapun, Malaysia tidak terlalu bergantung kepada import makanan dari Asia Barat. Sumber utama import adalah seperti di negara ASEAN, Australia dan Brazil yang tidak terlibat secara langsung dalam konflik berkenaan.

“Oleh itu, kesannya dijangka lebih kepada implikasi harga, bukan kepada ketersediaan fizikal makanan,” katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan, Malaysia masih berdepan cabaran struktur sebagai sebuah negara pengimport makanan bersih dengan tahap kebergantungan import melebihi 50 peratus.

“Ini menunjukkan sistem sedia ada berisiko jika berdepan gangguan bekalan antarabangsa yang lebih meluas. Keperluan mengurangkan kebergantungan makanan import adalah sesuatu yang sangat penting.

“Wajar untuk mengurangkan kebergantungan buat masa ini terutamanya bagi barangan asas seperti daging, susu serta buah-buahan yang tertentu. Krisis geopolitik boleh menjejaskan harga dan bekalan global bahan makanan.

Dalam pada itu, Prof. Ts. Dr. Siti Zaharah menyarankan beberapa langkah strategik bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara, antaranya meningkatkan pengeluaran domestik melalui penggunaan teknologi moden seperti pertanian pintar, hidroponik dan pertanian menegak.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan mempelbagaikan sumber import serta meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan alternatif tempatan kepada bahan makanan import.

“Malaysia perlu memperkukuhkan dasar keterjaminan makanan melalui sokongan kepada R&D bagi menjamin pengeluaran tempatan yang stabil, mempelbagaikan kepelbagaian dalam sumber import melalui negara-negara yang mampu membekalkan makanan dengan stabil dan pengurusan stok strategik agar keselamatan makanan benar-benar menjadi elemen keselamatan negara yang mampan,” katanya.