
KUALA LUMPUR 14 Mac – Kerajaan masih mampu mengekalkan subsidi buat masa ini walaupun ketidaktentuan ekonomi global semakin meningkat susulan perang Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran serta ketegangan di rantau Asia Barat.
- Kerajaan belum memutuskan pemotongan subsidi kerana memahami impaknya besar kepada rakyat.
- Menteri berkata kerajaan boleh menampung kenaikan kos akibat ketegangan geopolitik untuk beberapa bulan, sambil memantau perkembangan.
- Ketegangan global menjejaskan perbelanjaan pengguna dan menaikkan harga tenaga, memberi impak meluas kepada industri.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, kerajaan belum membuat keputusan untuk mengurangkan subsidi kerana menyedari kesannya yang besar kepada rakyat.
Jelas beliau, kerajaan ketika ini masih berupaya menampung peningkatan kos yang berpunca daripada ketegangan geopolitik sekurang-kurangnya dalam tempoh beberapa bulan.
“Buat masa ini kita belum ada keputusan untuk memotong subsidi sebab kita rasa kesannya memang besar.”
“Bagaimanapun, kita mahu melihat dahulu berapa lama kesan situasi ini akan berpanjangan. Jika hanya dua atau tiga bulan lagi, saya rasa kerajaan masih boleh bertahan. Selepas itu kita akan lihat perkembangan seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kewajaran kerajaan mengurangkan perbelanjaan termasuk subsidi bagi meredakan tekanan ekonomi negara.
Terdahulu, Datuk Seri Johari menghadiri Majlis Sembang Santai ‘Moreh dengan Yang Berhormat’ di sebuah kafe di Kampung Baru, di sini yang dianjurkan Persatuan Peniaga Bundle Malaysia dengan kerjasama Majlis Belia Kawasan Titiwangsa.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, konflik yang berlaku ketika ini bukan sahaja menimbulkan kebimbangan di Malaysia malah turut meresahkan banyak negara lain di seluruh dunia.
Menurutnya, ketidaktentuan berkenaan dirasai di pelbagai rantau termasuk ASEAN, Asia Barat dan Eropah kerana situasi tersebut berisiko menjejaskan kestabilan ekonomi global.
“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, biasanya dua kesan utama berlaku terhadap pasaran.”
“Pertama, orang ramai akan kurang berbelanja kerana mereka tidak pasti apa yang akan berlaku. Jika ada lebihan wang, mereka cenderung untuk menyimpannya.”
“Kedua, jika harga minyak meningkat, kesannya bukan hanya kepada sektor tenaga tetapi turut memberi impak kepada industri yang banyak menggunakan tenaga,” katanya.
Tambah beliau, kenaikan harga tenaga boleh memberi kesan lebih luas kepada pelbagai sektor ekonomi kerana kebanyakan industri bergantung kepada penggunaan tenaga dalam operasi harian mereka.