Konflik Asia Barat: Kemasukan pelancong VM2026 kekal memberangsangkan

MOTAC masih mengumpulkan data terkini tapi bersempena sambutan Hari raya Aidilfitri/Gambar fail


SEPANG, 23 MAC –
Sasaran kemasukan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) kekal dalam fasa memberangsangkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konflik Asia Barat berisiko menjejaskan laluan transit dan pergerakan pelancong antarabangsa.
  • Kemasukan pelancong hingga Februari meningkat lebih 30 peratus, memberi keyakinan sasaran VM2026 realistik.
  • MOTAC mengumpul data Mac, harap momentum Aidilfitri dikekalkan melalui program di sembilan lapangan terbang utama.

Meskipun konflik di Asia Barat berisiko memberi kesan terhadap laluan transit dan pergerakan pelancong antarabangsa.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Chua Choon Hwa berkata kemasukan pelancong sehingga Februari lepas mencatatkan peningkatan lebih 30 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata perkembangan itu sekali gus memberi keyakinan bahawa sasaran VM2026 kekal realistik untuk dicapai.

“Untuk bulan Mac, MOTAC masih mengumpulkan data terkini tapi bersempena sambutan Hari raya Aidilfitri, kami berharap jumlah itu akan kekal memberangsangkan.

“Hingga Februari lepas iaitu semasa Tahun Baharu Cina, kita mempunyai kemasukan pelancong yang tinggi dan melepasi peratusan sebelum ini sekurang-kurangnya 30 peratus,” katanya kepada media selepas sambutan Aidilfitri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Beliau berkata MOTAC berharap momentum tersebut dapat dikekalkan sepanjang musim Aidilfitri menerusi penganjuran sambutan hari raya di sembilan lapangan terbang utama seluruh negara termasuk KLIA Terminal 2, Pulau Pinang, Johor, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak.

Terdahulu, MOTAC menyasarkan kehadiran 40 juta pelancong luar negara sempena VM 2026 berbanding lebih 38 juta pelancong asing direkodkan tahun lalu.