
KUALA LUMPUR, 12 Mac -Jawatankuasa khas bagi memperkasa pemantauan serta penguatkuasaan barang kawalan bersubsidi diaktifkan semula untuk merangka pendekatan lebih bersepadu dalam mengekang risiko penyeludupan barangan tersebut susulan konflik Asia Barat.
- Jawatankuasa khas dijadual bermesyuarat pada Isnin depan bagi merangka pendekatan mengekang penyeludupan.
- Pemantauan perlu diperkasa kerana jurang harga bahan api subsidi meningkatkan risiko penyeludupan.
- Operasi penguatkuasaan melibatkan KPDN, agensi kawalan sempadan dan kastam untuk mengekang penyelewengan.
- Orang ramai, NGO dan komuniti diminta melapor unsur penyeludupan; bekalan bahan api negara dikatakan mencukupi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof itu dijadualkan bermesyuarat pada Isnin depan.
“Telah diputuskan bahawa kita (mesyuarat Jemaah Menteri hari ini) mengaktifkan satu jawatankuasa yang sebelum ini melihat kepada isu penguatkuasaan penyeludupan dan penyelewengan di Sabah dan Sarawak.
“Mesyuarat pada Isnin nanti untuk kita mencari pendekatan dan strategi mengekang penyeludupan di luar daripada sempadan kita bagi memastikan subsidi yang ada itu dapat dimanfaatkan oleh rakyat,” katanya pada sidang media Program Ronda Ramadan Ihsan Food Bank (i-FB), di sini hari ini.
Armizan berkata pemantauan dan penguatkuasaan itu perlu diperkasa kerana jurang harga terutamanya bahan api bersubsidi dalam negara dengan harga industri serta harga di negara jiran boleh meningkatkan risiko penyeludupan.
Beliau berkata operasi penguatkuasaan akan melibatkan pelbagai agensi termasuk penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), agensi kawalan sempadan serta pihak kastam.
“Kita mengharap kerjasama semua pihak, bukan hanya anggota penguat kuasa di pelbagai kementerian tetapi begitu juga pertubuhan bukan kerajaan serta masyarakat setempat, sekiranya melihat ada unsur penyeludupan dilakukan oleh pihak tertentu bagilah laporan kepada kita untuk kita mengambil tindakan segera,” tambahnya.
Dalam perkembangan sama, Armizan berkata bekalan bahan api di seluruh negara adalah mencukupi dan orang ramai tidak perlu bimbang mengenai ketersediaannya.
Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Feb susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti oleh serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk. – BERNAMA