
TENOM, 3 Mac – Sembilan sukarelawan MyFundAction yang berada di Turkiye bagi menyantuni anak-anak pelarian Syria dilaporkan terkandas dan belum dapat pulang ke tanah air seperti dijadualkan malam Ahad lalu.
- Kelewatan pulang sukarelawan disebabkan kemelut keselamatan Asia Barat yang menjejaskan jadual penerbangan antarabangsa.
- MyfundAction berhubung rapat dengan kedutaan dan pihak berkuasa untuk mengatur penerbangan pulang serta memastikan keselamatan.
- Kesemua sukarelawan dilaporkan selamat selepas menjalankan misi kemanusiaan di penempatan pelarian Syria.
Ketua Pegawai Eksekutif MyfundAction, Dr. Ghafur Rahim Mustakim berkata, kelewatan itu berpunca daripada kemelut keselamatan yang sedang memuncak di rantau Asia Barat, sekali gus menjejaskan jadual penerbangan antarabangsa serta laluan udara tertentu.
“Disebabkan penerbangan dibatalkan di Abu Dhabi, jadi mereka terpaksa tinggal di sana sementara waktu menunggu kebenaran penerbangan pulang.
“Kita pun tidak tahu penerbangan pulang ini, dan masih menunggu laporan Wisma Putra dan juga pihak penerbangan sendiri untuk memastikan sukarelawan ini pulang ke Malaysia dan juga Indonesia,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Jawa Uloi di sini selepas menyampaikan bantuan penduduk terjejas banjir.
Kesemua sukarelawan terbabit sebelum ini berada di beberapa penempatan pelarian bagi melaksanakan misi kemanusiaan, termasuk menyampaikan bantuan
pendidikan dan keperluan asas kepada kanak-kanak Syria.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa pihak pengurusan sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa serta kedutaan Malaysia bagi memastikan keselamatan sukarelawan terjamin dan urusan penerbangan pulang dapat diselaraskan secepat mungkin.
Kesemua sukarelawan dilaporkan berada dalam keadaan selamat. MyFundAction merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkhidmat dalam misi kemanusian di 45 buah negara di seluruh dunia.