fb fb fb fb fb

Komuniti perniagaan di Sarawak disaran sesuaikan diri dengan peredaran masa

Malam Anugerah Usahawan Sarawak 2023

KUCHING, 25 Januari- Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyarankan agar komuniti perniagaan di Sarawak menyesuaikan diri dengan peredaran masa serta persekitaran yang sentiasa berubah supaya terus kekal relevan dalam arena pasaran global yang semakin mencabar.

Berucap pada Malam Anugerah Usahawan Sarawak 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching malam tadi, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari memberitahu, hala tuju Sarawak ke arah transformasi Ekonomi Hijau bukan sahaja meningkatkan potensi kemasukan pelaburan asing ke negeri ini, malah memberi peluang kepada pemain industri tempatan untuk meneroka strategi, kaedah serta pasaran baharu berasaskan teknologi hijau.

"Komuniti perniagaan tempatan juga perlu peka dengan perkembangan teknologi digital seperti bidang kecerdasan buatan (AI), yang telah memberi impak besar terhadap pelbagai bidang, termasuk sektor ekonomi.

"Justeru, penerimaan Rangka Kerja Pemuliharaan Alam Sekitar, Tanggungjawab Sosial, dan Amalan tadbir Urus (ESG) merupakan asas kepada komuniti perniagaan tempatan untuk beralih kepada amalan perdagangan yang lebih mampan dan bertanggungjawab, selari dengan agenda Ekonomi Hijau Sarawak,"katanya.

Premier Sarawak kemudiannya menyampaikan anugerah kepada usahawan-usahawan tempatan yang telah menunjukkan tahap kecemerlangan yang memberansangkan sepanjang tahun 2023, selain melancarkan projek pembinaan Wisma SCCI yang dijangka siap pada tahun 2026.

Malam Anugerah Usahawan Sarawak 2023 (EOYS) bersempena dengan Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 itu telah dianjurkan bersama oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI).

Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak serta Presiden SCCI, Datuk Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE