fb fb fb fb fb

Komuniti MADANI Kelantan digerakkan, bantu penduduk terjejas banjir

Kerja-kerja membaiki jalan yang musnah di Kampung Jubakar Pantai susulan banjir yang melanda baru baru ini, giat dijalankan/ BERNAMA

TUMPAT, 5 Disember- Komuniti MADANI di Kelantan digerakkan bagi membantu penduduk terjejas banjir di negeri itu.

Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Kelantan Mohd Nor Aswadi Md Nor berkata, ia termasuk mengagihkan bakul-bakul makanan di pusat pemindahan sementara (PPS) serta program pasca banjir di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti.

"Kita tahu gelombang banjir untuk Monsun Timur Laut (MTL) baru sahaja melepasi yang pertama. Kita mengharapkan supaya da[at membantu lebih ramai penduduk terjejas banjir.

"Sekiranya nama-nama sukarelawan ini kita dapat kumpulkan lebih awal, ia akan memudahkan penugasan serta memastikan gerak kerja lebih tersusun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) JAPEN Kelantan dengan dengan kerjasama Komuniti Madani Negeri Kelantan di sini.

Pada masa sama beliau turut meminta agar semua Ketua Komuniti MADANI untuk mendaftar sukarelawan di kawasan masing-masing bagi membantu keluarga terjejas banjir.

Dalam pada itu kira-kira 1,000 sukarelawan terdiri daripada penuntut 12 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara tampil menjayakan Misi Skuad Ihsan MADANI, hari ini.

Program dengan kerjasama Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu digerakkan secara serentak di sekolah-sekolah terjejas teruk melibatkan daerah Pasir Mas, Rantau Panjang, Tumpat, Bachok dan Pengkalan Chepa.

Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sains Malaysia (USM) selaku penyelaras bersama turut menjayakan kerja-kerja sukarelawan berkenaan.

Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMK, Prof Ts Dr Arham Abdullah berkata, pasukan sukarelawan UMK mengutamakan operasi pembersihan di bilik-bilik darjah dan infra sekolah yang banyak mengalami kerosakan.

"Keadaan banjir hampir paras pinggang menyebabkan banyak kerosakan terutamanya melibatkan peralatan sekolah kelengkapan perabot.

"Misi ini akan menjadi pengalaman berharga buat sukarelawan terlibat dalam usaha  membantu murid-murid memulakan sesi persekolahan pada minggu hadapan," katanya.

Ia melibatkan seratus sukarelawan pelajar dan kakitangan.

Skuad sukarelawan mula melaksanakan kerja-kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan Gelang Mas dan Sekolah Kebangsaan Pangkal Kala, Pasir Mas yang terjejas teruk berikutan banjir.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI