KUALA LUMPUR, 12 Sept– Kementerian Komunikasi komited untuk memastikan persiapan serta kelancaran acara bersejarah Sambutan Hari Malaysia 2025.
Tahun ini, Pulau Pinang dipilih sebagai tuan rumah penganjuran tersebut dengan acara kemuncak dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, sambutan bukan sekadar mengenang pembentukan Malaysia pada 1963, tetapi juga menekankan pembangunan pesat, perpaduan negeri serta pengagihan hasil yang lebih adil di bawah kerajaan kini.
“Kita bukan sekadar meraikan pembentukan Malaysia pada tahun 1963, tetapi juga ingin menonjolkan bagaimana dalam tempoh lebih enam dekad ini, negara kita terus membangun dengan hubungan yang semakin akrab antara negeri dan rakyat, serta pengagihan pembangunan yang lebih adil di bawah kerajaan hari ini,
"Sudah pasti tumpuan sambutan Hari Malaysia ialah majlis menandatangani Buku Sambutan Hari Malaysia oleh Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak yang menjadi antara acara kemuncak sambutan tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini hari ini.
Pelbagai pengisian menarik dirancang termasuk program Jualan Rahmah, kaunter perkhidmatan agensi kerajaan serta pameran.
Selain acara fizikal, Kementerian Komunikasi turut memastikan liputan meluas menerusi saluran televisyen dan radio bagi memperkukuh penghayatan rakyat terhadap makna sebenar Hari Malaysia.