Kombo MADANI tawar harga lebih berpatutan, penjimatan hingga 60 peratus

Program Jualan Agro MADANI di Agrobazaar Rakyat Borong Wann

TITI TINGGI, 16 Januari – Sebanyak 50 set Kombo MADANI ditawarkan Agrobazaar Rakyat Borong Wann di Felcra Lubuk Sireh bersempena dengan Program Jualan Agro MADANI di Perlis tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kombo MADANI dijual di Agrobazaar Rakyat Borong Wann dengan potongan sehingga 60 peratus, memberi penjimatan besar kepada pengguna.
  • Set kombo mengandungi ayam dan barangan dapur asas seperti bawang, cili kering, ubi kentang serta rempah masakan.
  • Program Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah mencerminkan usaha kerajaan serta kerjasama agensi untuk harga barang lebih berpatutan.

Pengurus Agrobazaar Rakyat Borong Wann, Wan Nan Wan Din berkata, Kombo MADANI termasuk ayam dan barangan dapur seperti bawang besar, cili kering, ubi kentang serta rempah masakan dijual 60 peratus lebih murah iaitu hanya RM15 berbanding harga asal RM25.

“Dalam menetapkan barangan keperluan dalam setiap set Kombo Madani, pihak FAMA tidak tetapkan sebarang ketetapan harga, tetapi Agrobazaar mengambil inisiatif untuk memberi potongan harga untuk setiap kombo dan pengguna akan mendapat nilai penjimatan hingga 60 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jualan Agro MADANI di Agrobazaar Rakyat Borong Wann, salah satu dari outlet peruncitan FAMA Perlis yang melaksanakan jualan hari ini.

Kombo MADAN diperkenalkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam usaha membantu pengguna berbelanja membeli barangan harian pada harga berpatutan.

Pelaksanaan serta perluasan Program Jualan Agro MADANI mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Selain Jualan Agro MADANI, Agrobazaar Rakyat Borong Wann juga akan menganjurkan Program Jualan Rahmah pada 24 Januari depan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis dengan pelbagai barangan ditawarkan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih murah.