PETALING JAYA, 26 April - Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima pengiktirafan National Depositary Authority (NDA) atas Koleksi Kultur Mikrob Universiti Putra Malaysia (UPM-MCC) pada Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2024 pada hari ini.
Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata penghargaan ini adalah satu tanggungjawab besar bagi universiti dalam memperkasakan peranan UPM-MCC di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Pengiktirafan ini menunjukkan kehebatan IBS UPM sebagai Program Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICOE) dan harapan saya universiti mampu melaksana dengan baik dan juga mengubah senario negara dalam memastikan sel-sel kultur terpelihara untuk kegunaan masa depan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah IBS, UPM, Prof. Dr. Zunita Zakaria berkata UPM-MCC pusat penyimpanan koleksi kultur mikrob yang pertama di Malaysia yang akan menerajui penyimpanan strain mikroorganisma sebelum pihak pemohon membuat permohonan paten berkaitan mikroorganisma kepada MyIPO.
“Dengan adanya status NDA ini, UPM-MCC akan dapat menyediakan perkhidmatan penyimpanan bakteria di dalam kategori Patent Deposit bagi memenuhi salah satu syarat pemfailan paten berkaitan mikroorganisma di Malaysia,” katanya.
Ujarnya, melalui status NDA ini ia memperkasakan lagi peranan UPM-MCC sebagai sebuah pusat penyimpanan koleksi kultur utama di UPM dan Malaysia yang mampu meningkatkan kualiti penyelidikan.
Dalam pada itu, UPM-MCC telah diwartakan secara rasmi oleh pihak Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sebagai NDA yang pertama di Malaysia pada 27 Mac 2024.
Koleksi UPM-MCC atau sebelum ini dikenali sebagai Unit Koleksi Kultur Mikrob (UNiCC) merupakan salah satu unit strategik di bawah IBS, UPM yang melaksanakan perkhidmatan bagi menyokong aktiviti penyelidikan.