KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Kod tatacara pelesenan penyedia platform media sosial dijangka akan diumumkan selewat-lewatnya pada hujung bulan ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, penyediaan draf mengenainya sedang dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Katanya, ia sebagai panduan umum kepada semua platform media sosial mengenai peranan serta tanggungjawab mereka kepada pengguna platform itu khususnya dalam kalangan rakyat Malaysia.
Beberapa akta baru juga akan digubal antaranya Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara merangkumi beberapa aspek lain berkaitan platform dalam talian.
"Ada beberapa perkara yang akan kita usahakan. Satu adalah pindaan kepada akta komunikasi dan multimedia, tetapi itu sahaja tidak mencukupi. Dan paling tidak di peringkat masyarakat, kita akan menggerakkan lebih banyak aktiviti, meningkatkan pemahaman dan kesedaran tentang masalah jenayah dalam talian dan keselamatan dalam talian.
"Jadi saya percaya dengan adanya kerangka ataupun apabila platform-platform dilesenkan, kerjasama antara platform dan MCMC, dengan PDRM dengan Jabatan Peguam Negara akan lebih baik," kata Fahmi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menjadi jemputan podcast #BeKindOnline anjuran Suria KLCC sempena Bulan Kesedaran Kesihatan Mental 2024, di sini.