fb fb fb fb fb

KOA Sg Tonggang laksana projek perintis Kempen Advokasi SKMM

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ke Perasmian Advokasi Orang Asli dan lawatan ke menara JENDELA Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Tonggang di KOA Sungai Tonggang, Ipoh

TANJUNG RAMBUTAN, 19 Disember - Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Tonggang dipilih menjadi lokasi pertama projek perintis Kempen Advokasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ia sebagai usaha memperkasa komuniti itu terhadap keselamatan dalam talian dan memanfaatkan dunia digital untuk kemajuan ekonomi mereka.

Bertemakan 'From Roots to Routes: Boosting Economic Development and Social Empowerment for Orang Asli Sungai Tonggang', kempen tersebut dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Sementara itu, Fahmi ketika berucap pada majlis peluncuran program itu, mahu komuniti setempat memanfaatkan peluang tersebut.

“Ada keperluan untuk kita melaksanakan program yang kita akan rasmikan hari ini, kerana kita nak internet yang baik dimanfaatkan untuk tujuan kualiti kehidupan.

"Kita mahu internet ini membantu menjana pendapatan, kerana saya dapat tahu ada sesetengah tempat dengan internet yang baik boleh berniaga. Dia boleh jual dalam Lazada, Shopee, Tik Tok dan sebagainya. Malah, pendapatan yang diperoleh juga sangat baik,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.

Projek yang berlangsung selama tiga bulan itu meliputi program advokasi keselamatan digital dan pembangunan ekonomi.

Menerusi program advokasi keselamatan digital, murid-murid berusia 7 hingga 17 tahun didedahkan dengan enam sesi pembelajaran di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berdekatan.

Selain itu, tiga sesi taklimat turut disediakan untuk para ibu bapa dan guru.

Fahmi turut meninjau tapak menara Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) KOA Sungai Tonggang yang beroperasi sepenuhnya Oktober lalu.

Menara setinggi 60 meter itu memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 penduduk setempat.

ROSLINA BINTI DIN