
KUALA LUMPUR, 8 Mac – Pembinaan klinik kesihatan baharu di kawasan Pantai Sentral Park dijangka meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.
- Projek dimasukkan dalam Rolling Plan RMK-13 dengan kos pembangunan dianggarkan melebihi RM60 juta.
- Klinik baharu dirancang menyediakan skala perkhidmatan lebih besar dan komprehensif berbanding Klinik Kesihatan Tanglin.
- Kerja awal bermula dua tahun lalu; kini dalam perancangan dan reka bentuk, perolehan peralatan khusus mungkin melambatkan pembangunan.
- Cadangan pembangunan semula Bazaria Pantai sedang dikaji, dua pilihan reka bentuk dan kesan jajaran MRT3 akan dibincangkan minggu depan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata projek berkenaan dilaksanakan di bawah Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dengan kos pembangunan dianggarkan melebihi RM60 juta.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, klinik baharu itu akan menyediakan skala perkhidmatan yang lebih besar dan komprehensif berbanding Klinik Kesihatan Tanglin.
Kerja-kerja awal projek telah bermula dua tahun lalu dan kini berada pada peringkat perancangan serta penyediaan reka bentuk.
“Klinik ini amat dinantikan penduduk sekitar kerana sebahagian mereka terpaksa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tanglin yang lokasinya agak jauh.
Proses pembangunan mungkin mengambil masa kerana melibatkan perolehan peralatan perubatan khusus,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Parlimen Lembah Pantai di Masjid Ar-Rahah.
Dalam perkembangan lain, Datuk Fahmi memaklumkan terdapat perbincangan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi meneliti cadangan pembangunan semula Bazaria Pantai.
Cadangan ini susulan dapatan sesi libat urus bersama persatuan penjaja yang mendapati premis berusia 13 hingga 14 tahun tersebut memerlukan penambahbaikan dari segi kemudahan dan keselesaan.
Beliau berkata, perancangan pembinaan jajaran Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) Laluan Lingkaran berhampiran kawasan itu turut diambil kira dalam cadangan pembangunan semula.
“Dua pilihan reka bentuk sedang dipertimbangkan iaitu konsep terbuka menyerupai gaya restoran terkemuka, serta reka bentuk bangunan bertingkat yang menggabungkan kemudahan seperti pusat sehenti dan parkir bertingkat dengan gerai lebih luas serta selesa. Keputusan muktamad masih memerlukan penelitian lanjut termasuk perbincangan dengan pihak MRT, dengan siri perbincangan seterusnya dijadualkan minggu depan,” katanya.