SUNGAI RAMBAI, 8 November- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang mengenal pasti tanah dan kolam terbiar milik mereka di seluruh negara untuk dibangunkan semula bagi projek ternakan akuakultur.
Usaha berkenaan sekali gus menyokong program sekuriti makanan pada masa depan.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, setakat ini Projek Akuakultur berkenaan telah dijalankan di lapan lokasi di seluruh negara termasuk dua projek di Melaka, dua di Terengganu serta satu projek di Kuala Lumpur, Sawarak, Johor dan Pahang.
Terbaharu, beliau berkata, pihaknya sedang membangunkan empat kolam terbiar dengan peruntukkan kira-kira RM5 juta dijangka beroperasi awal tahun depan.
Katanya, projek terbabit dijalankan dengan kerjsama Persatuan Nelayan Kawasan dan pihak swasta.
"Jadi LKIM menyahut seruan ini kita perkasakan akuakultur dan kita akan mengerakkan kesemua aset yang ada termasuk bebebrapa tanah kolam ternakan sebelum ini yang tidak diusahakan akan segera diusahakan termasuk di Bukit Maluk, Langkawi, Pantai Merdeka, Juru dan Badung serta beberapa tempat lain,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jualan My Aqua Best di Projek Ternakan Udang Dalam Kolam Fasa 2, Kampung Sebatu, Sungai Rambai.
Sementara itu, Muhammad Faiz berkata, pihaknya menyasarkan RM500,000 nilai jualan diterima melalui Program Jualan My Aqua Best, sepanjang tahun depan.
Manakala setakat Oktober lalu, sebanyak RM58,720 nilai jualan diterima melalui program berkenaan di empat lokasi dan sebanyak RM100,000 nilai jualan dijangka diterima sepanjang tahun ini.