fb fb fb fb fb

KKR serah tiga SST berjumlah RM527 juta kepada kontraktor projek kesihatan

KUALA LUMPUR, 3 Ogos - Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menyerahkan tiga Surat Setuju Terima (SST) kepada syarikat yang terpilih berkaitan pelaksanaan projek-projek kesihatan milik Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah keseluruhan projek kesihatan itu sebanyak RM527 juta untuk tahun ini.

Katanya, projek itu bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan sedia ada yang dibina pada tahun 1973 yang kini sudah tidak mampu untuk menampung pertambahan bilangan pesakit dengan kadar purata 42, 500 orang setahun.

SST itu untuk Projek Pembinaan Projek Pembinaan Blok Baru Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Kangsar, Perak dengan kos projek sebanyak RM20.2 juta.

"Setiap kontraktor yang menerima SST ini haruslah menyiapkan setiap projek mengikut jadual dan tanggungjawab sebagai satu amanah agar manfaat fasiliti tersebut dapat dinikmati rakyat," tegasnya.

Beliau berkata, selaku peneraju sektor pembangunan pembinaan dan infrastruktur negara, kementeriannya berusaha menyediakan fasiliti kesihatan terbaik kepada rakyat.


Katanya, pengeluaran segera SST kepada syarikat telah dipilih melalui proses Perolehan Kerajaan.

"Ini antara strategi KKR untuk merancakkan semula sektor pembinaan secara tidak langsung dapat membantu dari sudut ekonomi golongan kontrator daripada pelbagai kelas termasuk kontraktor kecil G1 hingga G4," katanya.

Tambah beliau, ini selari dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah melancarkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat sebagai kerangka ekonomi Malaysia yang baharu.

Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui cawangan Kerja Kesihatan terlibat dengan 163 projek fasiliti kesihatan di seluruh negara bermula dari Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK 9) 2006-2010.

Sehingga 3 Julai, sebanyak 31 projek di peringkat perancangan, 4 peringkat reka bentuk, 12 di peringkat perolehan, 71 di peringkat pembinaan dan 45 projek telah berjaya diserahkan oleh JKR kepada KKM dengan nilai kos keseluruhan 163 projek yang berjumlah RM14.6 bilion.

"KKR juga terus mengambil langkah proaktif dan menggandakan pelbagai inisiatif untuk mengimbangi pertumbuhan dengan konsolidasi fiskal yang mempunyai impak secara langsung kepada rakyat, penggiat industri pembinaan dan pembangunan sektor pembinaan dalm mencapai hasrat dan kejayaan Ekonomi MADANI," katanya.






Media Baharu