KKR peruntuk RM28.15 juta pasang lampu jalan di 292 lokasi Jalan Persekutuan

Tiang lampu yang dipasang di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Mac — Sebanyak RM28.15 juta diperuntukkan bagi pemasangan lampu jalan di 292 lokasi jalan Persekutuan terpilih di seluruh negara sepanjang tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemasangan lampu jalan dilaksanakan secara tertumpu di lokasi berisiko seperti persimpangan, selekoh dan jambatan untuk meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
  • Kementerian menyediakan fasiliti keselamatan jalan raya pada jalan tanpa lampu untuk membantu penglihatan dan pengenalan sempadan lorong serta halangan.
  • Langkah bertujuan memastikan kebolehlihatan optimum menerusi pantulan cahaya kenderaan, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan di lokasi bermasalah.

Langkah itu bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko kemalangan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pemasangan lampu jalan itu akan dilaksanakan secara tertumpu di lokasi tertentu yang memerlukan tahap pencahayaan tambahan.

“Bagi kawasan yang kerap berlaku kemalangan atau berisiko kemalangan akibat keadaan jalan gelap seperti di persimpangan, selekoh, jambatan serta kawasan yang mempunyai rekod kemalangan, pemasangan lampu jalan akan dibuat secara tertumpu di lokasi yang memenuhi keperluan pencahayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Nelson W Angang pada persidangan Dewan Negara di Parlimen, hari ini.

Tambah beliau, bagi jalan yang beroperasi tanpa lampu jalan, kementerian turut menyediakan kemudahan fasiliti keselamatan jalan raya bagi memastikan keselamatan pengguna.

Menurutnya, fasiliti keselamatan itu berfungsi membantu pengguna mengenal pasti geometri jalan, sempadan lorong serta halangan di hadapan melalui pantulan cahaya lampu kenderaan.

“Fasiliti keselamatan ini berfungsi untuk mengenal pasti geometri jalan, sempadan lorong serta halangan di hadapan melalui pantulan cahaya lampu kenderaan sekali gus memastikan tahap kebolehlihatan yang optimum walaupun tanpa pencahayaan lampu jalan,” katanya.