KKR permudah import bahan binaan, tegas patuhi piawaian CIDB

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi/BERNAMA

SHAH ALAM, 11 Februari -Kementerian Kerja Raya (KKR) menyambut baik saranan Perdana Menteri supaya proses membawa masuk bahan binaan dari luar negara dipermudah bagi menangani peningkatan kos bahan pembinaan dalam negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • KKR menyokong permudahan import bahan binaan untuk atasi kos tinggi, selaras saranan Perdana Menteri.
  • CIDB melakukan penambahbaikan program dan prosedur bagi memudahkan import sambil memastikan kualiti.
  • Kemudahan import tidak mengurangkan kawalan; semua bahan mesti patuhi piawaian dan standard keselamatan CIDB.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan bagi memastikan bahan binaan berkualiti dapat dibawa masuk dengan lebih lancar.

“Kami di Kementerian Kerja Raya memang menyambut baik apa yang disarankan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri supaya dipermudahkan bawa masuk bahan-bahan pembinaan,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian MYBIM Satellite Centre, di sini.

Beliau berkata usaha berkenaan sedang dilaksanakan, khususnya oleh CIDB, termasuk penambahbaikan program dan prosedur berkaitan bagi membantu industri pembinaan negara.

Bagaimanapun, Datuk Seri Alexander menegaskan bahawa kemudahan itu tidak bermaksud kelonggaran terhadap aspek kawalan kualiti dan keselamatan.

“Kita bukan mempermudahkan begitu sahaja. Kita mesti pastikan bahan-bahan pembinaan itu mengikut kualiti yang telah ditetapkan oleh CIDB untuk negara kita,” katanya.

Beliau berkata bahan binaan yang dibawa masuk perlu mematuhi piawaian dan standard keselamatan yang ketat bagi memastikan bangunan serta infrastruktur yang dibina adalah selamat dan berkualiti.

“Kita tak boleh suka-suka biarkan dia masuk tapi kualiti tak ada, itu bahaya. Sebab bahan pembinaan ini mesti ada standard dia, piawaian dia mesti kita patuh sangat untuk memastikan keselamatan bangunan ataupun infrastruktur yang kita bina,” katanya.

Menurut beliau, langkah tersebut telah pun dilaksanakan dengan pemantauan berterusan oleh agensi berkaitan.

Terdahulu, pada majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun 2026 Jabatan Perdana Menteri, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk melonggarkan syarat import bagi memastikan kos bahan binaan kekal rendah dan tidak membebankan rakyat.