KKR pasang pepaku jalan, delinator di Sabah

Foto pepaku jalan janaan AI

KUALA LUMPUR, 11 Mac- Kementerian Kerja Raya (KKR) mengambil inisiatif memasang pepaku jalan dan tiang delinator bagi membantu pemandu melihat laluan dengan lebih jelas pada waktu malam di Sabah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketiadaan lampu jalan di beberapa kawasan menyebabkan keperluan langkah keselamatan alternatif.
  • Pepaku dan tiang delinator membantu pemandu kenal sempadan laluan serta kurangkan risiko kemalangan pada waktu malam.
  • Panjang rangkaian jalan negeri berkenaan menjadikan pemasangan lampu menyeluruh mencabar dan memerlukan peruntukan besar; pengguna digesa pastikan lampu kenderaan berfungsi.

Timbalan Menteri, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pemasangan kemudahan itu dapat membantu pemandu mengenal pasti sempadan laluan dan keadaan jalan sekali gus mengurangkan risiko kemalangan khususnya di kawasan tidak mempunyai lampu jalan.

“Panjang jalan Persekutuan di Sabah dianggarkan kira-kira 1,536 kilometer, manakala jalan negeri mencecah 22,807 kilometer. Keadaan itu menjadikan usaha memasang lampu jalan di keseluruhan rangkaian berkenaan amat mencabar,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Nelson W Angang di Dewan Negara hari ini.

Datuk Seri Ahmad turut mengingatkan pengguna supaya memastikan lampu kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik bagi membolehkan pepaku jalan dan delinator memantulkan cahaya dengan jelas, sekali gus menjamin perjalanan lebih selamat.